Wanita Solehah: Ummu Hani
UMMU Hani, sepupu Rasulullah saw, terkenal sebagai wanita yang mempunyai sikap penyayang terhadap anak-anak serta teguh keperibadiannya.
Nama sebenarnya Fakhitah binti Abu Talib bin Abdul Muttalib. Dia menjadi bualan di kalangan sukunya kerana memiliki peradaban begitu halus. Beliau juga dikenali sebagai wanita yang bijak.
Pada zaman jahiliah, Rasulullah pernah meminang beliau, namun disebabkan ayahnya lebih dulu menerima pinangan Ubairah bin Abu Wahab, pinangan baginda ditolak.
Apabila Ummu Hani memeluk Islam, suaminya, Ubairah tetap dengan agama asal, menyebabkan mereka terpaksa berpisah.
Ummu Hani terkenal sebagai ibu yang penyayang serta taat kepada suami.
Menandangkan beliau terpaksa menjalani kehidupan sebagai janda bersama anak yang masih kecil, Rasulullah sekali lagi meminang Ummu Hani.
Beliau bagaimanapun wanita itu memberikan jawapan yang berhemah, iaitu: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku sangat mencintaimu, lebih daripada cintaku kepada pendengaran dan penglihatanku sendiri.
Namun aku menyedari betapa besarnya hak yang mesti aku penuhi kepada seorang yang bernama suami.
Aku takut jika aku berbakti kepada suamiku maka anak-anakku terbiar, sebaliknya jika aku menumpukan perhatian kepada mereka, maka aku bimbang hak suami tidak dapat kusempurnakan.
Begitulah pengorbanan Ummu Hani dalam memastikan kebajikan dan kebahagiaan anak-anaknya sentiasa terpelihara sehingga beliau sanggup hidup tanpa suami untuk membesarkan mereka.
Wanita Arab ketika itu cenderung memberikan perlindungan kepada insan yang memerlukan dan Ummu Hani tidak terkecuali, apatah lagi dengan pendiriannya yang agak tegas dan berani.
Beliau pernah memberi perlindungan kepada dua lelaki iaitu adik iparnya yang hendak dibunuh.
Kejadian itu berlaku ketika adiknya Ali bin Abu Talib tiba-tiba berada di rumahnya dan menyatakan hasratnya untuk membunuh kedua-dua lelaki berkenaan. Ummu Hani pantas menutup pintu rumahnya untuk menyelamatkan lelaki berkenaan daripada menjadi mangsa pedang Ali.
Selepas perang reda, Ummu Hani pun bertemu Rasulullah untuk menceritakan kejadian terbabit.
Baginda menjawab: Wahai Ummu Hani, sesungguhnya aku akan melindungi orang yang engkau lindungi dan aku akan menjaga orang yang engkau beri keamanan. Dengan demikian, aku tidak benarkan Ali membunuh mereka.
dari keratan berita harian
**************
mekar mu dalam lipatan sirah
harum mu dalam jalanan Rasulullah