Episod 4 : Perjalanan ke Baitullah dan menziarahi Rasulullah

Seterusnya pada hari keempat, kami dibawa melihat kesan sejarah keangkuhan Firaun laknatullah. Dari Jalan Ahram kami menuju ke saujana padang pasir yang di sanalah terdapat banyak piramid. Kami berkesempatan melawat piramid yang paling besar dan Sphinx. Entah berapa banyak bongkah-bongkah batu yang diperlukan untuk menghasilkan sejulang piramid. Entah berapa nyawa yang terkorban untuk sebuah keangkuhan. Entah berapa lama penderitaan dan air mata hanya untuk sebuah makam.

Mak Lang seperti biasa tidak pernah mengsia-siakan pengalaman baru. Dia teruja untuk menunggang unta buat kali pertama. Setelah berunding, harga untuk naik ke unta 20 rial. Tapi suamiku telah memberi `warning’ awal. Benar! 20 riyal itu cuma untuk naik dan bergambar. Jika setapak unta bergerak bererti rialnya juga bertambah… J Mak Lang baru bersiap naik, tiba-tiba unta itu terus berdiri. Nasib baiklah Mak Lang memegang erat pemegang, jika tidak tak tahu lah apa akan jadi. Aku yang turut beria untuk naik jadi tidak berani. Akhirnya mengambil keputusan menjadi pegembalanya sahaja. Aku percaya selepas ini Mak Lang tak mungkin naik unta lagi! (naik unta ni ada tekniknya ya…)

Kemudian, kami berkesempatan ke Masjid Saidina Hussain. Dalam perjalanan, kami ditunjukkan Masjid dan Universiti Al-Azhar. Sebuah universiti terulung di Mesir dan terkenal di dunia. Telah terbina lebih 100 tahun (969 masihi) dan merupakan Universiti kedua tertua setelah Universiti Al-Qarawiyin di Maghribi. Universiti al-Azhar dibina oleh kerajaan Fatimiyyah (909-1171) Universiti ini memiliki fakulti dalam undang-undang islam dan perundangan, nahu Arab, Ilmu Falak, falsafah awal Islam, dan logik. Pada abad ke-12, dengan kejatuhan Dinasti Shia, Fatimi, Sultan Salahuddin (pengasas Dinasti Ayyubid Sunni) menukar Al-Azhar menjadi pusat pembelajaran Sunni Shafie. Beberapa fakulti telah ditambah seperti perubatan, kejuruteraan, pertanian dan fakulti wanita Islam pada tahun 1961, di bawah pemerintahan kerajaan Presiden Mesir ke-2, Presiden gamal Abdel Nasir.

Di Masjid Hussain, ramai orang-orang arab bersama-sama keluarga masing-masing ‘rehlah’ di tepi masjid. Ustaz yang menjadi ‘tourist guard’ kami di Mesir memberitahu kami, inilah cara orang-orang susah di sini bercuti sambil mengunjungi makam Saidina Hussain. Saidina Hussain telah dibunuh di Karbala semasa menuju ke Kufah. Jenazah beliau dihantar ke Mesir untuk dikebumikan. Walau bagaimanapun, kepalanya dipercayai dikebumikan di Mesir dan mungkin di Jordan atau di Syria – banyak pendapat. Tapi di mana secara tepat tidak dapat dipastikan. Mungkin filem THE CARAVAN OF PRIDE (versi syiah) dapat memberikan sedikit gambaran sejarah ini.

Di sebelah Masjid Hussain, terdapat ratusan deretan kedai-kedai untuk membeli-belah, Bazar Khan Khalili. Pelbagai barang kraftangan terdapat disitu tapi harus pandai tawar-menawar. Jubah Mesir cantik-cantik dan warna-warni. Sayang, masa di Bazar Khan Khalili terlalu cepat berlalu. Sempat memilih cuma beberapa barang untuk cenderahati.

Selesai di bazar, kami dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Nil, sungai terpanjang di dunia.. Sungai yang mempunyai sejarah yang unik. Sewaktu negeri Mesir ditakluki oleh tentera Islam, khalifah Umar r.a. telah melantik Amru bin Al-As sebagai Gabenor di wilayah tersebut. Satu peristiwa ganjil telah berlaku di mana air Sungai Nil berhenti mengalir dan penduduk Mesir harus melakukan satu upacara Jahiliah iaitu dengan mengorbankan seorang gadis yang paling cantik di Mesir ke dalam sungai itu. Ini merupakan amalan tradisi setiap tahun. Tetapi Amru bin Al-As berkeras tidak mahu melakukannya. Apabila air Sungai Nil mulai kering, penduduknya merasa cemas. Sebahagian dari mereka terpaksa berpindah ke kawasan lain. Keadaan ini memaksa Amru Al-As menulis surat kepada Khalifah Umar r.a. untuk meminta pandangannya. Saiyidina Umar pun mengirimkan jawapannya kepada Amru. Surat itu bukanlah ditujukan kepadanya, tetapi kepada Sungai Nil. Sebelum mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil, Amru sempat membaca isi kandungannya yang berbunyai: Surat ini dikirimkan kepada Sungai Nil oleh Umar, hamba Allah dan Amirul Mukminin. Wahai Sungai Nil ! Jika air yang mengalir di sungai ini atas kuasamu, maka ketahuilah bahawa kami tidak memerlukan kau, tetapi jika ianya mengalir di atas kekuasaan Allah s.w.t, maka kepadanyalah kami memohon agar mengalirkan air di sungai ini.” Setelah dicampakkan surat itu ke dalamnya, diriwayatkan sungai itupun dipenuhi semula oleh air sedalam empat puluh kaki pada malam itu juga. Semenjak hari itu, Sungai Nil tidak pernah berhenti mengalir dan lenyaplah amalan-amalan Jahiliah di kalangan penduduk Mesir.

Petang itu, kami pulang ke hotel dengan jiwa Sungai Nil. Walaupun keletihan namun semangat terus mengalir...

Friday, June 25, 2010 at 11:53 PM